CARACAS 14 Jan. - Presiden Venezuela, Hugo Chavez dan rakan sejawatannya dari Iran, Mahmoud Ahmadinejad mengumumkan rancangan untuk membelanjakan berbilion-bilion dolar bagi membiayai projek di negara lain untuk membantu menangkis dominasi Amerika Syarikat (AS). Kedua-dua Presiden anti-AS yang telah mencemaskan Washington kerana usaha mereka untuk meluaskan pengaruh masing-masing bertemu di sini semalam dalam rangka lawatan Mahmoud ke Amerika Latin.
Presiden Iran itu juga dijadual menemui para pemimpin berhaluan kiri yang baru mengambil alih kuasa di Nicaragua dan Ecuador.
Kedua-dua negara kaya minyak itu sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mewujudkan dana bersama berjumlah RM7.2 bilion (AS$2 bilion) untuk membiayai pelaburan di Venezuela dan Iran.
Bagaimanapun, Chavez dan Mahmoud berkata semalam, wang itu juga akan digunakan untuk membiayai projek di negara-negara sahabat yang lain.
"Dana ini akan membolehkan kita untuk membiayai pelaburan terutamanya di negara-negara yang sedang berusaha untuk membebaskan diri daripada cengkaman imperialis (AS).
"Saudara, dana ini akan menjadi mekanisme untuk pembebasan.
"Jahanam imperialisme AS!" kata Chavez.
Mahmoud menyifatkannya sebagai keputusan sangat penting yang akan membantu menggalakkan kerjasama kedua - dua negara di negara lain terutamanya di Amerika Latin dan negara Afrika.
Chavez yang merupakan sekutu rapat pemimpin Cuba, Fidel Castro telah menjanjikan bantuan berbilion-bilion dolar kepada negara-negara di Amerika Latin.
Iran didakwa oleh Washington membiayai kumpulan pejuang di Asia Barat seperti Hamas dan Jihad Islam di samping gerila anti-AS di Iraq dalam usaha untuk meluaskan pengaruhnya.
Lawatan Mahmoud semalam, yang kedua kali dalam tempoh kurang empat bulan, dilakukan ketika beliau cuba mengatasi sekatan antarabangsa berhubung program nuklear Teheran dan kemungkinan mencari sekutu baru di Amerika Latin.
|