Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
LAJNAH DPPKJASIN
KENALI PAS
BUSH RAYU, DEMOKRAT SELAR - MENGHARAP SATU LAGI PELUANG LAKSANA STRATEGI PERANAN DI IRAQ
Khamis, Januari 25, 2007
WASHINGTON 24 Jan. - Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dalam ucapan dasar tahunannya malam tadi merayu supaya "diberikan satu lagi peluang" untuk meneruskan strategi tidak popular beliau di Iraq.

Bagaimanapun, parti Demokrat segera menyelar pendirian tersebut manakala pengkritik-pengkritik pula menyifatkan perkembangan itu memperlihatkan Bush "semakin lemah dari segi politik."

Parti Demokrat mencabar Bush menebus kembali kredibiliti negara dan menamatkan konflik berdarah secara diplomasi.

Bush yang disambut tepukan gemuruh ketika memasuki Kongres, berikrar akan terus mempertahankan dasar luar kontroversinya dalam usaha "memperjuangkan ideologi" dan mengembangkan demokrasi di Asia Barat.

Ketika membentangkan agenda diplomatik untuk dua tahun terakhir penggal pentadbiran dan dibayangi kecaman berikutan caranya mengendalikan "perang keganasan" dan konflik di Iraq, Bush menegaskan, cabaran yang masih dihadapi oleh AS adalah perang yang bermula pada 11 September 2001.

"Perang ini lebih daripada pertempuran senjata, ia adalah perjuangan ideologi, dan keselamatan negara menjadi taruhan," katanya pada sesi bersama Kongres yang dikuasai Demokrat.

Sambil mengetepikan pendekatan yang lebih pragmatik bagi menghadapi cabaran diplomatik, Bush mahu memberi tumpuan kepada memerangi pelampau di "Asia Barat."

"Persoalan besar hari ini adalah sama ada rakyat AS akan membantu penduduk di Asia Barat membina sebuah masyarakat yang bebas dan berkongsi semua hak kemanusiaan," ujarnya.

Bush mendakwa, tahun 2005 memperlihatkan kejayaan dalam "agenda kebebasan" yang antara lainnya Revolusi Pokok Araz yang membebaskan Lebanon daripada pengaruh Syria dan penduduk di Iraq dan Afghanistan mengadakan pilihan raya walaupun dibayangi keganasan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa kejayaan-kejayaan tersebut dibayangi oleh tindakan pelampau sama ada Sunah dan Syiah yang didokong oleh Iran dan Syria.

"Saya beranggapan musuh yang melihat keadaan ini telah mengubah taktik dan pada tahun 2006 telah menyerang balas," tambahnya.

Dalam kenyataan bertulis mengenai ucapan Bush, Senator Jim Webb dari Virginia yang mewakili Demokrat berkata:

"Presiden membawa kita ke dalam perang secara semberono."

"Kita kini, sebagai sebuah negara menjadi tahanan kekacauan yang sudah diramal," ujar Webb.

Beliau yang merupakan veteran Perang Vietnam dan Setiausaha Tentera Laut semasa pentadbiran Presiden Ronald Reagan menggesa hala tuju baru dalam pencerobohan di Iraq.

"Bukan satu langkah ke belakang daripada perang keganasan antarabangsa. Bukan pengunduran yang tidak mempedulikan kekacauan pada masa depan," jelasnya.

Beliau menambah: "Tetapi peralihan segera ke arah diplomasi, satu dasar yang mengeluarkan askar-askar kita keluar dari jalan-jalan raya bandar-bandar di Iraq dan formula yang membolehkan askar kita dikeluarkan dari Iraq dalam masa yang singkat."

Bagaimanapun, Bush dalam ucapannya tidak menyatakan sebarang tawaran seperti yang dinyatakan oleh Demokrat atau mempertahankan cadangan penghantaran 21,500 askar tambahan ke Iraq.

Demokrat yang menguasai majoriti dua dewan di Kongres AS percaya, Bush sudah hilang kawalan terhadap agenda dasar negara, terutamanya di Iraq.
posted by jasindaily online @ 12:26 PTG  
0 Comments:
Catat Ulasan
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 ISU LUAR NEGARA Template by Isnaini Dot Com