BAITULMAQDIS 14 Jan. - Beberapa operasi Amerika Syarikat (AS) terhadap kepentingan Iran di Iraq kebelakangan ini memperlihatkan kecenderungan Washington beralih kepada tindakan unilateral. Langkah itu diambil selepas AS dikatakan semakin bosan dengan kelembapan proses diplomasi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kami memang ada strategi terhadap Iran dan saya fikir strategi itu semakin dikembangkan bagi menangani masalah serius yang ditimbulkan oleh Iran," kata Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice dalam kenyataan yang disiarkan oleh Jabatan Negara.
Rice tiba di sini semalam pada permulaan rangka lawatan ke Asia Barat untuk menagih sokongan negara-negara Arab bagi menyekat pengaruh Teheran di rantau ini.
Beliau mempertahankan serbuan tentera AS ke atas sebuah pejabat Iran di utara Iraq pada Khamis lalu.
Askar AS memasuki pejabat di Arbil itu dan menangkap lima orang yang disyaki terlibat dengan kegiatan anti-AS.
Teheran telah mengutuk serbuan tersebut.
Rice bagaimanapun memberi amaran tindakan serupa akan diambil pada masa depan.
"Kami telah melakukannya beberapa kali dan kami akan terus melakukannya,"kata beliau.
Pada Disember lepas, tentera AS menangkap dua diplomat Iran di Baghdad sebelum membebaskan mereka beberapa jam kemudian.
White House dan Pentagon kini cuba meredakan kebimbangan dan khabar angin mengenai konflik dengan Syria dan Iran selepas Presiden George W. Bush mengumumkan pertambahan kekuatan bala tenteranya di Iran, baru-baru ini.
Pentadbiran Bush turut berdepan dengan kebimbangan Kongres, yang dikuasai Demokrat bahawa Washington mungkin melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iraq.
Presiden Bush semasa mengemukakan pelan baru beliau untuk Iraq pada malam Khamis lalu turut mengumumkan penempatan sistem pertahanan antipeluru berpandu Patriot di rantau tersebut.
|