WASHINGTON 14 Jan. - Presiden George W. Bush semalam memberi amaran kepada anggota Demokrat di Kongres supaya jangan memotong peruntukan untuk perang di Iraq. Bush juga mencabar mereka yang menentang rancangan baru beliau untuk Iraq supaya mengemukakan pelan alternatif sekiranya mahu mencabar dasar yang dikemukakannya itu.
"Mereka yang enggan memberi peluang untuk rancangan ini membuahkan hasil, berkewajipan menawarkan alternatif yang mempunyai peluang lebih cerah untuk berjaya.
"Adalah tidak bertanggungjawab untuk menentang segala-galanya tanpa mengemukakan sebarang cadangan," kata Bush dalam ucapan mingguannya di radio semalam.
Bush enggan membesarkan tentangan terhadap pelan baru beliau itu dalam kalangan anggota Demokrat yang kini menguasai Kongres AS dan daripada sesetengah anggota Republikan sendiri.
Sesetengah anggota Kongres yang menentang kehadiran tentera AS di Iraq mengancam untuk menyekat peruntukan perang itu.
Bush menyifatkan rancangan barunya itu sebagai misi penting yang akan menentukan kesudahan di Iraq.
"Walau apa pun percanggahan pendapat di kalangan kita berhubung strategi dan taktik, kita semua bertanggungjawab memastikan askar kita mempunyai segala keperluan untuk mencapai kejayaan," kata Presiden itu.
|