TEHERAN 15 Dis. - Rakyat Iran keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya untuk memilih anggota majlis tempatan dan sebuah badan ulama tertinggi dalam ujian pertama di peti undi bagi Presiden Mahmoud Ahmadinejad dan sekutunya sejak mengambil alih kuasa tahun lalu.
Pengundian untuk memilih anggota majlis perbandaran dan luar bandar serta Majlis Fakih yang pada teorinya institusi paling berkuasa di Iran, akan memberi petunjuk sama ada lawan Presiden kembali mendapat sokongan atau tidak.
Bagaimanapun keputusan pilihan raya itu dijangka tidak membawa kesan langsung terhadap dasar kerajaan.
Kenyataan anti-Barat dan anti-Israel yang dibuat oleh Mahmoud telah menimbulkan perasaan cemas di Barat.
Sebarang petunjuk bahawa populariti beliau semakin merosot dijangka disambut baik oleh negara-negara Barat yang bimbang mengenai rancangan nuklear Iran.
Keputusan mungkin tidak disiarkan sehingga lewat Ahad ini.
|