JEDDAH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah semalam menekankan bahawa Islam tetap utuh meskipun pelbagai usaha dilakukan musuh untuk menghancurkan agama itu serta melemahkan penganutnya.
"Ingin saya tegaskan kepada anda bahawa tiada suatu pun kuasa di muka bumi yang boleh mengalahkan keimanan kamu," lapor Agensi Berita Saudi memetik kenyataan raja itu.
Abdullah membuat kenyataan itu ketika dikunjungi Menteri Dalam Negeri, Putera Naif yang menjadi Pengerusi Suruhanjaya Tinggi Anugerah Antarabangsa Kajian Sunnah dan Kontemporari Islam Naif Abdul Aziz al-Saud.
Turut hadir pada pertemuan di Istana al-Yamamah di Riyadh itu adalah anggota panel suruhanjaya itu.
"Islam kini menghadapi serangan tetapi umatnya mampu mempertahankan agama ini dengan keimanan serta akhlak mereka. Dengan izin Allah, kamu pasti menang," katanya sambil memuji kekentalan iman dan pegangan umat Islam.
"Saya mengucap syabas kepada setiap umat Islam kerana kepatuhan mereka terhadap agama ini. Ini adalah kepercayaan yang tidak akan mendatangkan sebarang bahaya langsung," katanya.
Sementara itu, Raja Abdullah turut menyeru seluruh umat Islam supaya berganding bahu menentang mereka yang ingkar.
"Dukacita dimaklumkan bahawa sesetengah anggota kumpulan ingkar ini adalah anak kita tetapi mereka sudah digoda Syaitan," katanya merujuk kepada golongan menyokong gerakan al-Qaeda di negara itu |