RAFAH: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang konvoi yang membawa Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh kelmarin menyebabkan seorang pengawal peribadi maut dan mencederakan anak lelaki pemimpin berkenaan. Hamas menyifatkan serangan itu sebagai cubaan membunuh Haniyeh yang juga pemimpin pergerakan itu.
Insiden yang turut menyaksikan 27 lain cedera, berlaku lewat kelmarin dan hanya membuktikan permusuhan ketara antara Hamas dan pergerakan Fatah yang dipimpin pemimpin sederhana, Presiden Mahmoud Abbas.
Kedua belah pihak sudah memberi amaran yang permusuhan itu menghampiri perang saudara.
Serangan terbaru itu tercetus di Rafah di sempadan Gaza-Mesir.
Haniyeh yang pulang daripada lawatan ke negara Islam, sebelum itu dihalang kembali ke Gaza.
Selepas menunggu berjam-jam lamanya di sempadan itu, Haniyeh akhirnya dibenarkan masuk ke Gaza. Anak lelaki Haniyeh, Abdel Salam dan penasihat politiknya, Ahmed Yousef, cedera dalam serangan berkenaan
|