WASHINGTON 3 Dis. - Amerika Syarikat (AS) telah membelanjakan lebih RM1.26 trilion (AS$350 bilion) di Iraq sejak ia menceroboh Baghdad pada Mac 2003, menurut penilaian semula AFP terhadap angka yang diberikan Kongres. Menurut laporan Jabatan Bajet Kongres (CBO) bertarikh 22 September, kira-kira RM1.04 trilion (AS$290 bilion) termasuk RM913 bilion (AS$254 bilion) diperuntukkan dalam tahun kewangan 2006 yang berakhir 30 September lalu.
Perangkaan itu dikeluarkan empat hari sebelum Kumpulan Kajian Iraq peringkat tinggi yang ditubuhkan untuk meneliti peranan Washington dalam peperangan di Iraq dijadual membentangkan laporannya.
Perkhidmatan Penyelidikan Kongres menganggarkan kos dalam peperangan tersebut berjumlah RM1.15 trilion (AS$319 bilion), mewakili 73 peratus daripada perbelanjaan 'memerangi keganasan' yang dilancarkan oleh AS selepas tragedi 11 September 2001 ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Kongres telah meluluskan peruntukan berjumlah RM252 bilion (AS$70 bilion) untuk 'perang menentang keganasan' dalam belanjawan pertahanan tahun depan termasuk RM180 bilion (AS$50 bilion) untuk konflik di Iraq, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan RM1.26 trilion (AS$350 bilion).
Pada bulan lepas, seorang senator parti Demokrat menyatakan bahawa Jabatan Pertahanan akan meminta peruntukan tambahan sebanyak RM456 bilion (AS$127 bilion) untuk digunakan dalam peperangan di Iraq dan Afghanistan, satu amaun yang menjadikan angka 'menentang keganasan' kepada RM1.8 trilion (AS$500 bilion).
Permintaan terbaru itu akan menjadikan 'perang ke atas keganasan' ini lebih memakan belanja berbanding Perang Vietnam yang berakhir tahun 1975.
Perkhidmatan Penyelidikan Kongres pada September lalu melaporkan bahawa kos Perang Iraq untuk tahun ini meningkat kepada RM28.7 bilion (AS$8 bilion) sebulan berbanding RM23 bilion (AS$6.4 bilion) sebulan pada tahun lalu.
|