DAMSYIK 10 Nov. - Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh hari ini menyatakan kesediaannya untuk tidak mengetuai kerajaan perpaduan yang dibentuk pada masa hadapan jika tindakan tersebut boleh mengembalikan bantuan asing kepada negara itu. Berucap kepada para jemaah dalam sebuah masjid di Gaza, Ismail menegaskan, beliau sanggup berundur demi mengembalikan ratusan juta bantuan asing yang masih dibekukan.
"Apabila isu pengepungan berlaku di satu sudut dan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri di satu sudut lain, biarlah pengepungan ditarik balik bagi menamatkan penderitaan penduduk Palestin," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Hamas dan Fatah bersetuju mengetepikan ahli-ahli politik terkemuka dalam kerajaan perpaduan baru yang sedang mereka bincangkan.
"Kami hampir selesai membincangkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan kebangsaan dengan keanggotaannya dipilih berdasarkan profesionalisme dan merit. Tiada mana-mana ahli politik terkemuka akan dipilih menyertainya," kata seorang anggota peringkat Tinggi Hamas, Izzat al- Rishq kepada Reuters di sini.
Izzat, seorang anggota biro politik Hamas berkata, kedua-dua kumpulan itu juga bersetuju barisan yang bakal menganggotai kerajaan baru akan mencerminkan keanggotaan Parlimen Palestin.
Hamas dan Fatah sedang berusaha membentuk apa yang mereka sifatkan sebagai kerajaan perpaduan teknokrat.
Pentadbiran baru itu akan mendorong negara-negara Barat melonggarkan sekatan yang dikenakan selepas Hamas mengambil alih kuasa pada Mac lalu.
Sekatan-sekatan itu bertujuan memberi tekanan ke atas kumpulan Hamas supaya mengiktirafkan Israel, menghentikan perjuangan bersenjata dan menerima perjanjian yang dicapai pada masa lalu.
Izzat berkata, Hamas telah meminta Presiden Palestin, Mahmoud Abbas supaya meminta jaminan daripada negara-negara kuasa Barat supaya menarik balik sekatan itu sebaik sahaja kerajaan baru itu dibentuk nanti.
Ismail daripada kumpulan Hamas telah menggantungkan rundingan itu untuk sementara waktu kelmarin selepas berlakunya serangan Israel yang paling dahsyat ke atas masyarakat Palestin dalam tempoh empat tahun, apabila 18 penduduk awam terbunuh di Beit Hanoun, utara Gaza.
"Perbincangan telah disambung semula dan pasukan bersama dengan Fatah ditubuhkan untuk membincangkan butir-butir terperinci," kata Izzat.
|