BANGKOK 28 Nov. - Kabinet Thailand yang disokong tentera hari ini menarik balik undang-undang tentera yang dikuatkuasakan sejak dua bulan lepas di 41 wilayah, termasuk ibu negaranya Bangkok tetapi mengekalkannya di beberapa tempat lain termasuk kubu kuat bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra. Menteri Pertahanan, Boonrawd Somtas berkata, baki 35 wilayah termasuk wilayah di sempadan utara dan timur laut seperti Chiang Mai serta Chiang Rai di mana populariti Thaksin masih memuncak, akan kekal di bawah undang-undang tentera disebabkan masalah keselamatan.
Beliau berkata, wilayah selatan akan turut kekal di bawah undang-undang tentera ekoran keadaan bergolak di sana apabila lebih 1,800 meninggal dunia sejak keganasan tercetus pada Januari 2004.
Undang-undang tentera dikuatkuasakan di seluruh negara selepas rampasan kuasa 19 September lalu yang menyaksikan penyingkiran Thaksin tetapi di wilayah selatan yang bergolak, kerajaan terdahulu mengenakan undang-undang tentera yang memberikan kuasa meluas kepada agensi keselamatan sejak tahun lepas.
Kabinet Thailand bagaimanapun memutuskan untuk menarik balik undang- undang tentera di Bangkok di sebalik perakuan oleh Majlis Keselamatan Negara (CNS) yang dikendalikan tentera supaya terus memerintah.
"Ini berikutan keperluan untuk memulihkan semula imej negara di persada antarabangsa. Kami yakin tidak akan ada masalah dan kami akan berupaya mengendalikan keadaan sekiranya berlaku demonstrasi," kata beliau selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Surayud Chulanont.
Thailand mendapat tekanan kuat daripada masyarakat dunia, termasuk sekutu kuatnya Amerika Syarikat, supaya menarik balik undang-undang tentera.
Di sebalik keadaan tenang di negara itu sejak rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada kerajaan Thai dan CNS bimbang dengan penentangan tersembunyi daripada penyokong Thaksin.
Surayud telah beberapa kali menolak permintaan Thaksin untuk pulang ke tanah air, bimbang kehadirannya akan menggugat kestabilan kerajaan dan negara.
Kerajaan merancang mengadakan pilihan raya bebas Oktober tahun depan
|