BANDAR GAZA 13 Nov. - Pemerintahan pimpinan Hamas yang bermula awal tahun ini, dijangka berakhir dalam waktu terdekat berikutan pemimpin pergerakan itu dan Fatah mengadakan rundingan di sini, hari ini mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang hampir menjadi kenyataan. Bekas Presiden Universiti Islam di Gaza, Mohammed Shabir, 60, disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk jawatan Perdana Menteri bagi menggantikan Ismail Haniyeh.
Mohammed tidak menafikan beliau merupakan calon mengisi jawatan itu tetapi menegaskan belum dilantik secara rasmi.
Bagaimanapun pegawai kanan Hamas di Damsyik, Moussa Abu Marzouk mengesahkan pergerakan itu dan Fatah telah bersetuju untuk mencalonkan Mohammed sebagai ketua kerajaan perpaduan.
Pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang mikrobiologi dari Universiti West Virginia, Amerika Syarikat (AS), Mohammed dianggap rapat dengan Hamas tetapi bukan penyokong aktif.
Hamas dan Fatah berharap Mohammed yang dianggap berpendirian sederhana akan diterima oleh masyarakat antarabangsa dan membantu meyakinkan Barat supaya menarik balik sekatan ekonomi yang melumpuhkan kerajaan Palestin sejak mengambil alih kuasa Mac lalu.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang dipilih secara berasingan dan mengetuai Fatah memiliki kuasa untuk melantik Perdana Menteri.
Fatah telah menyarankan agar ahli Parlimen bebas yang menjalin hubungan baik dengan kedua-dua puak, Ziad Abu Amr, 56, menjadi Menteri Luar dalam kerajaan baru itu, kata pegawai.
Tokoh ekonomi dihormati, Salam Fayyad, 54, yang menjadi Menteri Kewangan dalam kerajaan terdahulu pimpinan Mahmoud diminta untuk mengisi portfolio yang sama dalam Kabinet baru.
Hamas tidak menentang pelantikan Ziad dan Salam.
Rundingan berbulan-bulan antara Fatah dengan Hamas gagal membawa kepada penubuhan kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun sejak beberapa hari lalu, kedua-dua pihak melaporkan kemajuan dan Mahmoud menyuarakan harapan kerajaan itu akan ditubuhkan pada bulan ini
|