CRAWFORD 5 Nov. - Jurucakap White House, Tony Snow semalam mempersendakan dakwaan bahawa pengumuman keputusan perbicaraan kes Saddam Hussein di Iraq telah diatur untuk membantu calon-calon Republikan menjelang pilihan raya Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ini. "Awak menghisap ganjakah?" tanya Snow sambil ketawa apabila ditanya sama ada pegawai AS dan Iraq bersekongkol untuk mengeluarkan keputusan itu hari ini bagi membantu penyokong Presiden George W. Bush yang bertanding dalam pilihan raya itu.
"Adakah awak memberitahu saya bahawa mereka yang menganggotai sistem kehakiman Iraq akan membuat kejutan saat-saat akhir bagimempengaruhi pilihan raya itu nanti?"
"Perkara paling penting yang perlu ditegaskan sekarang ialah Iraq mempunyai badan kehakiman bebas," kata Snow.
Beliau mendakwa bahawa kerajaan Iraq boleh mempertahankan dan mentadbir negara itu dan kemajuan telah disaksikan bukan sahaja dari segi keupayaan pasukan keselamatannya tetapi juga untuk mewujudkan sebuah badan kehakiman bebas.
Snow enggan meramalkan sama ada keganasan akan meningkat di Iraq jika Saddam seperti yang dijangka, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati.
Saddam dan beberapa defendan lain dijadual dijatuhi hukuman hari ini oleh Tribunal Tinggi Iraq di Baghdad berhubung pembunuhan 148 penduduk kampung Syiah dari kampung Dujail pada 1982.
|