BAITULMAQDIS 13 Okt. - Amerika Syarikat (AS) telah memulakan kempen secara senyap dengan memberi bantuan sejumlah RM154.65 juta (AS$42 juta) untuk memperkukuhkan musuh politik Hamas sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pilihan raya awal Palestin, kata seorang pegawai yang berkaitan dengan program tersebut. Rancangan itu termasuk pemberian dana untuk penstrukturan semula kumpulan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan membekalkan latihan dan nasihat strategik kepada ahli-ahli politik dan parti sekular.
"Projek ini membantu objektif untuk mewujudkan alternatif demokrasi bagi menggantikan pilihan politik autoritarian atau gerakan politik radikal Islam," kata satu kenyataan yang diperoleh Reuters.
Kempen AS dijalankan berikutan tanda-tanda pertimbangan untuk membubarkan kerajaan pimpinan Hamas oleh Mahmoud dan memungkinkan proses pilihan raya lebih awal.
Pegawai dan penasihat AS berkata, usaha dijalankan secara senyap untuk melindungi warga Palestin yang menerima bantuan daripada AS kerana sebahagian daripada mereka disifatkan oleh Hamas sebagai bersubahat dengan Washington dan Israel.
Dana tersebut akan turut digunakan untuk menggalakkan kumpulan pemerhati dan wartawan tempatan untuk memantau aktiviti Hamas sementara anggaran RM18.41 juta (AS$5 juta) lagi akan disalurkan kepada sekolah persendirian di Palestin sebagai alternatif kepada sistem pendidikan awam yang diselia oleh Hamas.
|