BANGKOK: Raja Thailand semalam memperkenankan senarai 242 tokoh yang dipilih tentera untuk menjadi anggota Dewan Undangan Nasional (NLA) Thailand dianggotai 17 pegawai kanan awam, hakim, ahli akademik, 35 pegawai tentera, anggota polis, ahli politik, pengusaha bank, wakil media, artis dan pertubuhan bukan kerajaan.
Bekas Gabenor Bangkok Chamlong Srimuang, yang memimpin demonstrasi besar-besaran menentang Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan awal bulan ini, telah turut dilantik sebagai anggota dewan.
Raja Bhumipol Adulyadej semalam mengeluarkan perintah diraja untuk melantik anggota NLA itu yang turut disertai oleh beberapa penyokong bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan pada 19 September lalu.
Antara tokoh terkemuka yang dilantik ialah bekas timbalan kepada Thaksin, Wissanu Krea-ngarm dan setiausaha agung Borwornsak Uwanno, bekas speaker Senat Meechai Ruchuphan, bekas Menteri Luar Surin Pitsuwan dari Parti Demokrat, Kanchana Silapa-archa dari Parti Chat Thai dan bekas anggota Thai Rak Thai, Pinij Jarusombat.
Selepas rampasan kuasa 19 September, Wissanu dan Borwornsak membantu Majlis Pembaharuan Demokratik (CDR) pimpinan tentera untuk merangka Perlembagaan sementara bagi menggantikan Perlembagaan 1997 yang dimansuhkan oleh tentera.
Semalam Panglima Tentera Jeneral Sondhi Boonyaratglin, yang mengetuai rampasan kuasa itu, berkata NLA akan berfungsi sebagai Parlimen sehingga pilihan raya baru diadakan pada Oktober 2007.
Antara tanggungjawabnya ialah meneliti dan meluluskan rang undang-undang serta meluluskan Perlembagaan baru.
Selain melantik bekas Panglima Tentera Surayud Chulanont sebagai Perdana Menteri baru, CDR, yang juga dikenali sebagai Majlis Keselamatan Nasional, masih mempunyai kuasa dan boleh memecat kerajaan baru atau menolak keputusannya. Kelmarin, menteri pertahanan berkata, undang-undang tentera itu akan kekal untuk sekurang-kurangnya sebulan lagi
Di bawah undang-undang tentera, aktiviti dan perhimpunan politik melebihi lima orang diharamkan manakala larangan ke atas media diteruskan |