NEW YORK 10 Okt. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula menimbangkan draf resolusi tajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan sekatan yang boleh melumpuhkan Korea Utara selepas rejim komunis itu mendakwa telah menjalankan ujian bom atom. Majlis Keselamatan dengan sebulat suara mengutuk keputusan Korea Utara yang tidak menghiraukan seruannya supaya tidak menjalankan ujian nuklear.
Ia juga menggesa Pyongyang mengelak daripada menjalankan ujian nuklear lagi, kembali ke meja rundingan enam pihak dan menunaikan janji untuk membubarkan program senjata rahsianya.
Presiden AS, George W. Bush menyifatkan pengumuman Korea Utara itu sebagai provokasi dan tidak boleh diterima, meskipun beliau menyatakan Washington masih cuba mengesahkan ujian tersebut.
Namun begitu tindakan Pyongyang menimbulkan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta menuntut tindak balas segera daripada Majlis Keselamatan.
Sejurus kemudian, Duta AS ke PBB, John Bolton meminta Majlis itu meluluskan resolusi yang sangat tegas bagi mengenakan sekatan baru terhadap Korea Utara dengan tujuan menyekat program nuklear dan peluru berpandunya, mengharamkan semua perdagangan peralatan tentera dan barang mewah mahu pun membasmi urus niaga kewangan haram.
AS mengedarkan draf resolusi malam tadi berasaskan cadangan yang diedarkan sebelumnya bagi mengutuk ujian, menuntut Pyongyang kembali ke meja rundingan tanpa prasyarat, dan mengenakan sekatan kerana Korea Utara dengan terang-terangan tidak mempedulikan seruan Majlis supaya tidak menjalankan ujian bom atom.
Draf AS itu juga mahu menyekat sebarang urus niaga kewangan Korea Utara yang berpunca daripada pemalsuan wang, pengubahan wang haram dan pengedaran dadah di samping menyekat ‘sebarang penyalahgunaan sistem kewangan antarabangsa
|