TEHERAN 15 Okt. - Iran semalam menyifatkan ancaman yang dibuat oleh negara-negara Barat untuk mengenakan sekatan berhubung dengan program nuklearnya sebagai satu bentuk "perang psikologi." Jurucakap Kementerian Luar Iran, Mohammad Ali Hosseini berkata, negaranya tidak gentar dengan ancaman itu dan mengulangi pendirian tegas Teheran untuk meneruskan program nuklearnya.
Dalam satu laporan yang disiarkan oleh televisyen kerajaan Iran menerusi laman web bahasa Inggerisnya, Mohammad "menyifatkan ancaman sekatan ke atas Iran sebagai perang psikologi semata-mata."
Cubaan yang dibuat berkali-kali oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga Jerman untuk memujuk Iran berunding mengenai program nuklearnya gagal pada awal bulan ini apabila Teheran mengumumkan pendiriannya tidak akan menggantungkan aktiviti pengayaan uraniumnya.
Para pegawai dan diplomat berkata, keenam-enam negara itu bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai sekatan PBB ke atas Iran pada minggu depan.
Negara-negara itu bagaimanapun masih perlu menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka mengenai bentuk sekatan yang akan dikenakan.
Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier semalam berkata, tawaran mengenai pakej insentif yang bertujuan untuk memujuk Iran menghentikan aktiviti pengayaan uraniumnya masih terbuka.
Steinmeier, bagaimanapun, tidak memberi butiran terperinci mengenai jenis sekatan yang akan dikenakan ke atas Iran.
|