TEHERAN 25 Okt. - Iran memajukan program nuklearnya setapak lagi dengan memasang set alat emparan yang kedua untuk memperkaya uranium dan akan mula menyuntik gas uranium ke dalamnya dalam masa beberapa hari lagi. Pengumuman itu dibuat ketika negara-negara Barat khususnya Eropah berusaha untuk mengemukakan draf resolusi mengenakan sekatan ke atas Iran di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.
Negara-negara Eropah mahu mempercepatkan resolusi itu meskipun tanpa penyertaan Amerika Syarikat (AS).
"Set emparan kedua Iran dipasang dua minggu lalu dan penyuntikan gas ke dalamnya akan dilakukan minggu ini," lapor agensi berita pelajar Iran, ISNA hari ini.
"Kita akan memperoleh produk daripada set emparan kedua itu sejurus selepas penyuntikan gas," katanya.
Diplomat awal minggu ini menyatakan bahawa Iran dipercayai menguji set kedua alat emparan yang boleh memperkaya uranium sama ada untuk penjana kuasa atau untuk membuat bom nuklear jika dimajukan lagi.
Set emparan pertamanya mula-mula menghasilkan sejumlah kecil uranium yang diperkaya pada April lalu.
Teheran menghadapi kemungkinan dikenakan sekatan Majlis Keselamatan kerana keengganannya untuk membekukan kegiatan pengayaan uranium.
Kelmarin, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad telah menegaskan, kuasa Barat silap jika mereka menyangka negaranya akan membatalkan rancangan nuklearnya akibat tekanan politik.
Iran menyatakan ia mahu memperkaya uranium hanya untuk menjana tenaga elektrik.
Barat mengesyaki Iran, pengeksport minyak kedua terbesar dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum, cuba membina bom nuklear dengan berselindung di sebalik program nuklear awam.
Pakar perisikan Barat menganggarkan Iran memerlukan tiga hingga 10 tahun lagi sebelum berupaya menjalankan operasi pengayaan uranium skala perindustrian melibatkan beribu-ribu alat emparan yang boleh menghasilkan cukup banyak uranium gred senjata bagi membina bom nuklear.
|