BANGKOK 1 Okt. - Rasuah sistematik melibatkan 95 projek mega yang dilaksanakan sepanjang lima tahun setengah perkhidmatan kerajaan Thaksin Shinawatra dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM40 bilion (400 bilion baht). Profesor Supannee Chai-amporn dari Institut Pentadbiran Pembangunan Negara dan rakannya, Sirinthip Arun-rue menyatakan, 'rasuah polisi' berlaku secara meluas dalam tempoh Thaksin menjadi Perdana Menteri.
Mereka mendedahkan perkara itu dalam kertas penyelidikan mereka berjudul 'Bentuk dan Proses Rasuah dalam Projek Besar Kerajaan'.
Rasuah polisi merupakan bentuk rasuah baru dan canggih dalam kerajaan.
Ia bertujuan untuk melindungi mereka yang terlibat daripada pendakwaan kerana rasuah tersebut tidak menyalahi undang- undang meskipun akibatnya menjejaskan kepentingan awam, menurut penyelidik tersebut.
Dari segi penggubalan dasar awam, rasuah polisi juga melanggar etika kerana wang pembayar cukai dibazirkan dan pengguna dieksploitasi.
Berdasarkan statistik Lembaga Ekonomi dan Pembangunan Sosial Negara, 95 projek infrastruktur besar yang melibatkan pelaburan berjumlah RM135 bilion (1.35 trilion baht) dilaksanakan oleh kerajaan Thaksin sejak 2001.
Perbelanjaan kerajaan sebanyak RM22 bilion (220 bilion baht) untuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan projek berkaitannya dipertimbangkan secara berasingan.
Rasuah polisi serta bentuk penipuan biasa seperti persekongkolan untuk mendapatkan tender, manipulasi spesifikasi projek dan sogokan, semua sekali menyebabkan kos projek kerajaan meningkat 5 hingga 30 peratus, menurut kertas penyelidikan itu.
Jika rasuah sentiasa mencapai paras 30 peratus, jumlah yang digelapkan adalah sekitar RM45 bilion (450 bilion baht) bagi 95 projek besar kerajaan itu dan RM7.3 bilion (73 bilion baht) untuk lapangan terbang baru dan projek berkaitan.
Jumlah lebih rendah RM40 bilion (400 bilion baht) untuk kesemua projek dianggap munasabah.
"Ahli politik, birokrat dan kontraktor semuanya terlibat dalam proses ini. Jika jumlahnya melebihi RM10 juta (100 juta baht), mereka memilih untuk membayar di luar negara dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti membuka surat kredit bagi membawa wang ke luar negara," menurut laporan itu.
|