DAMSYIK 13 Okt. - Pemimpin Hamas dalam buangan, Khaled Mashaal berkata, pergerakan itu tidak akan mengiktiraf Israel, tetapi berhasrat menyertai kerajaan perpaduan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Tambah beliau, Hamas bersedia untuk membebaskan tentera rejim Tel Aviv, Koperal Gilad Shalit sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.
Kenyataan Khaled itu dibuat ketika ketegangan semakin memuncak antara Hamas dan Mahmoud yang mengiktiraf kewujudan Israel sebagai pertukaran pembentukan negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
Bagaimanapun Hamas telah menolak cadangan tersebut sehingga menyebabkan rundingan membentuk kerajaan bersama menemui jalan buntu.
"Hamas tidak akan mengalah dan tidak akan mengiktiraf Israel. Bagaimanapun Hamas tidak mahu berkuasa sendirian," kata Khaled.
Khaled menegaskan: "Kerajaan perpaduan perlu mendapat arahan daripada orang Palestin, bukan dari Amerika Syarikat atau Israel."
|