LONDON 29 Okt. - Bekas Timbalan Perdana Menteri Iraq, Ahmad Chalabi semalam menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya mengadakan rundingan dengan Iran bagi membantu meredakan keganasan kaum di negara itu yang akan membuka jalan kepada pengunduran tentera AS. Ahmad memberitahu AP bahawa beliau faham punca rakyat AS dan Britain hilang sabar ekoran peningkatan dalam angka kematian membabitkan askar dari kedua-dua negara itu di Iraq dan juga keganasan kaum.
Ahmad juga menyentuh tentang kenyataan bahawa sebab-sebab utama yang membawa kepada pelancaran peperangan di Iraq akhirnya didapati tidak berasas.
Beliau bagaimanapun berkata, "tidak dinafikan bahawa bekas Presiden Saddam Hussein merupakan kuasa jahat dan beliau mempunyai hubungan dengan pertubuhan-pertubuhan pengganas."
Ahmad pernah menerima sokongan padu daripada Pentagon dan telah membantu pentadbiran Presiden George W. Bush mengumpulkan maklumat mengenai program senjata milik Saddam dan hubungannya dengan rangkaian Al-Qaeda sebelum bermulanya peperangan pada 2003.
Dalam satu temu ramah di kediamannya di tengah London, Ahmad yang merupakan seorang pengikut sekular Syiah yang berpendirian sederhana, mengecam rundingan sulit yang diadakan antara puak Sunah Iraq dan para pegawai AS.
Beliau berkata, rundingan itu tidak akan membantu menstabilkan kerajaan Iraq yang goyah, meredakan keganasan atau membuka jalan kepada pengunduran tentera AS.
Ahmad bagaimanapun menggesa para pemimpin AS dan Britain supaya memberi masa kepada kerajaan Iraq untuk memperkukuhkan strukturnya dan menunjukkan kepada dunia Arab bahawa demokrasi boleh dicapai di negara itu.
|