LONDON 8 Okt. - Seorang lagi menteri kerajaan pimpinan Tony Blair masuk campur dalam pertelingkahan hangat mengenai pemakaian purdah oleh wanita Islam dengan memberi amaran, mereka berdepan dengan risiko mencetuskan "ketakutan dan balas dendam." Menteri Masyarakat, Phil Woolas menggesa penduduk Islam memahami pandangan bukan Islam yang kononnya mendapati purdah sebagai sesuatu yang "menakutkan dan mengganggu."
Woolas yang bertanggungjawab terhadap hubungan komuniti, kaum dan kepercayaan, menyokong bekas Setiausaha Luar, Jack Straw yang mencetuskan perdebatan mengenai isu tersebut sejak Khamis lalu.
"Sukar untuk dinyatakan sama ada wanita yang memakai purdah sebagai ekspresi kepercayaan atau disebabkan dipaksa," kata Woolas.
"Kebanyakan penduduk Islam kelahiran Britain memakainya, tindakan yang bertujuan menyatakan identiti dan agama.
"Ini boleh mencetuskan ketakutan dan balas dendam di kalangan penduduk bukan Islam dan membawa kepada diskriminasi. Orang Islam semakin bersungguh-sungguh memperlihatkan identiti mereka, dan ia menjadi putaran ganas yang memberi faedah kepada pelampau perkauman seperti Parti Kebangsaan British," ujarnya.
Sementara itu penunjuk perasaan mengadakan bantahan di Blackburn, bandar perindustrian mempunyai ramai penduduk Islam, kawasan yang diwakili Straw.
Selepas menambah kekusutan, Woolas meminta pihak terbabit bertenang.
Sementara itu Gereja England dalam dokumen rahsia yang dibocorkan kepada The Sunday Telegraph menuduh kerajaan memihak kepada penduduk Islam dalam usaha mengintegrasikan mereka
|