SEOUL 11 Okt. - Pemimpin kedua tertinggi Korea Utara, Kim Yong Nam hari ini memberi amaran, negaranya akan menjalankan lebih banyak ujian nuklear jika Amerika Syarikat (AS) masih meneruskan "sikap bermusuh" dengan kerajaannya. Menurut beliau, negaranya bersedia untuk kembali ke dalam rundingan enam pihak jika sekatan ke atas negaranya ditarik balik.
Kenyataan terbaru pemimpin Pyongyang itu dikeluarkan selepas Korea Utara mengejutkan dunia Isnin lalu dengan melakukan ujian nuklear.
Yong Nam yang merupakan Presiden Perhimpunan Agung Rakyat berkata, langkah Korea Utara selepas ini banyak bergantung kepada dasar AS.
"Isu ujian nuklear pada masa akan datang berkaitan dengan dasar AS terhadap negara kami," katanya, yang dipetik oleh agensi berita Jepun, Kyodo.
"Jika AS terus mengambil sikap bermusuh dan mengenakan tekanan ke atas kami dalam pelbagai bentuk, kami tidak ada pilihan lain kecuali berurusan secara fizikal," tegasnya.
Ketegangan pula semakin memuncak apabila Korea Selatan menyatakan bahawa tenteranya bersedia menghadapi perang nuklear.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Roh Moo-hyun dalam kritikan langsung yang jarang ditujukan kepada jiran utaranya membidas dakwaan Korea Utara yang memerlukan senjata nuklear untuk menentang serangan negara asing.
|