BONN 30 Okt. - Pencemaran gas rumah hijau oleh industri di dunia masih meningkat dengan Amerika Syarikat (AS) terus kukuh sebagai pencemar yang paling besar, demikian menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. Dalam laporan tahunan yang dikemaskinikan mengenai pencemaran yang memanaskan bumi, Kerangka Konvensyen Terhadap Perubahan Cuaca PBB (Unfccc) berkata, berbanding dengan tanda aras pada 1990, sebanyak 41 negara industri yang dipantau olehnya mengurangkan pencemaran sebanyak 3.3 peratus pada akhir 2004.
Laporan itu merujuk kepada negara-negara yang digelar Annex 1 oleh Unfccc iaitu cabang kepada Sidang Kemuncak Rio pada 1992 yang terkenal mengenai masa depan alam sekitar dunia dan induk kepada Protokol Kyoto untuk mengurangkan gas rumah hijau. Pihak-pihak Annex 2 pula merujuk kepada negara-negara membangun dan republik bekas Soviet yang miskin.
Laporan itu menunjukkan AS masih menjadi pencemar alam sekitar yang paling besar di dunia.
Daripada 17.931 bilion tan yang dicemarkan olah negara-negara Annex 1 pada 2004, 39.4 peratus telah dilepaskan oleh AS.
|