YALA 8 Okt. - Seramai tiga orang Islam dan seorang beragama Buddha terbunuh akibat ditembak dalam kejadian berasingan oleh suspek militan di selatan negara ini. Seorang penoreh getah beragama Islam ditembak mati hari ini di Pattani.
Kematian beliau adalah lanjutan daripada tiga pembunuhan lewat semalam.
Di Pattani, seorang anggota polis Islam telah ditembak mati ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerja sementara di wilayah Yala, seorang penduduk kampung beragama Islam yang bekerja sebagai pemberi maklumat kepada tentera di tembak mati di depan rumahnya.
Di wilayah Narathiwat, seorang penduduk berusia 65 tahun yang beragama Buddha ditembak empat kali oleh dua lelaki yang menunggang motosikal ketika sedang berjalan pulang ke rumah.
|