MANAMA 6 Sept. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam menegaskan, rundingan tentang pertukaran askar Israel dengan tahanan Palestin di penjara Israel masih belum diputuskan. Mahmoud memberitahu pemberita di sini bahawa komen yang dibuat sebelum ini telah disalahertikan oleh pihak media.
"Apa yang saya cakapkan terdapat perjanjian yang ditaja oleh saudara kami di Mesir, tetapi ia masih belum menjadi kenyataan," katanya.
Di bawah usul perjanjian itu, Mesir akan bertanggungjawab terhadap askar yang diculik selepas pertukaran tahanan dibuat.
Mahmoud berkata, pertukaran itu bagaimanapun tidak melibatkan menteri-menteri Palestin memandangkan penahanan mereka dibuat secara haram.
Mahmoud turut menggesa pembebasan segera tahanan-tahanan tersebut dengan berkata: "Kami bercakap tentang 10,000 tahanan Palestin."
Dalam pertemuan kelmarin, Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa turut menyatakan sokongan kuat terhadap hak warga Palestin bagi menubuhkan sebuah negara bebas ada menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Raja Sheikh Hamad turut mengalu-alukan usaha Mahmoud dalam menyatupadukan warga Palestin dan menyeru komuniti antarabangsa supaya membantu menghentikan penderitaan rakyat negara itu yang sering menjadi sasaran serangan Israel.
|