WASHINGTON 15 Sept. - Jawatankuasa Senat semalam 'memberontak' terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dengan meluluskan rang undang-undang sendiri, yang menurutnya, melindungi hak suspek pengganas rakyat asing dan memperbaiki imej AS yang tercemar akibat layanan buruk ke atas tahanan. Sebuah Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat meluluskan rang undang-undang itu bagi memenuhi tuntutan Mahkamah Agung AS yang menolak rancangan asal Bush.
Jawatankuasa itu juga menentang cubaan Bush untuk memberi definisi yang lebih jelas tentang peraturan Konvensyen Geneva dalam memberi layanan kemanusiaan ke atas tahanan.
Bush menegaskan definisi itu diperlukan bagi membolehkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendapatkan maklumat-maklumat penting daripada tahanan.
Rang undang-undang itu yang dikemukakan oleh Pengerusi jawatankuasa, John Warner dari Virginia dan dua tokoh Republikan iaitu John McCain dari Arizona dan Lindsey Grahama dari Carolina Selatan, diluluskan dengan 15 undi menyokong dan sembilan undi menentang, dengan sokongan daripada wakil-wakil Demokrat dan dan wakil Republikan Susan Collins dari Maine.
Ia diluluskan beberapa jam selepas Bush berusaha mendapatkan sokongan Republikan di White House berhubung cadangannya membicarakan suspek-suspek pengganas.
Bush telah dikecam hebat kerana menahan tahanan bagi tempoh yang panjang dan juga ekoran layanan buruk ke atas suspek-suspek pengganas asing di Teluk Guantanamo dan juga di Penjara Abu Gharib di Iraq.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, layanan buruk ke atas tahanan-tahanan itu telah mencemarkan imej AS.
Beberapa anggota Kongres berkata, mereka bimbang amalan itu akan mendedahkan tentera Amerika kepada risiko yang lebih besar iaitu dicederakan atau diseksa sekiranya mereka ditangkap di negara-negara yang dilanda konflik
|