Jeneral Pervez Musharraf dalam buku In The Line of Fire turut mengkritik pencerobohan AS ke atas Iraq kerana ia menyebabkan dunia "lebih berbahaya."
Pervez yang sedang dalam lawatan ke AS dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden George W. Bush esok dan Presiden Afghanistan, Hamid Karzai bagi mencari persetujuan mengenai cara memerangi kumpulan penentang, terutamanya di sempadan Pakistan-Afghanistan.
Beliau menyentuh banyak isu global yang muncul selepas serangan 11 September termasuk hubungan India dan Pakistan.
Kata Pervez, beliau menulis buku tersebut meskipun penasihatnya berpendapat ia tidak sesuai pada masa sekarang kerana boleh mencetuskan suasana tidak baik dalam hubungan dengan AS dan negara-negara jiran.
Dalam memoir 335 halaman itu, Presiden Pakistan itu menyatakan, AS dan Arab Saudi telah mencipta "gergasi" pelampau apabila menyokong kumpulan pejuang di Afghanistan yang menentang penduduk Kesatuan Soviet.
"Kami perlu membantu kebangkitan Taliban selepas pengunduran Soviet dari Afghanistan, yang tidak dipedulikan tanpa belas kasihan AS," jelas Pervez.
Beliau menambah, kekosongan berlaku akibat tindakan AS ini yang membolehkan Osama bin Laden dan rangkaian al-Qaeda mengukuhkan kedudukan dengan sokongan pemimpin Taliban, Mullah Omar.
Menurutnya, Pakistan menganggap kemunculan Taliban dapat menghentikan kekacauan di Afghanistan akibat perang saudara 1992-96 selain daripada menyekat Pakatan Utara yang berpihak kepada India.
Bagaimanapun selepas serangan 11 September, Pervez berkata, beliau menyedari sokongan berterusan ke atas Taliban yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan akan menyebabkan Pakistan bertembung dengan Washington.
"Amerika pasti bertindak ganas. Jika yang bersalah adalah Al-Qaeda, maka sudah pasti Amerika akan terus menyerang kami," ujarnya.
Pada hari serangan 11 September, jelasnya, Setiausaha Negara AS, Colin Powell telah menelefonnya dan memberitahu amaran: "Anda sama ada bersama kami atau menentang kami."
Keesokan hari, kata beliau, timbalan Powell, Richard Armitage telah menghubungi ketua agensi perisikan Pakistan dan mengeluarkan amaran yang lebih keras.
Pervez menulis: "Dalam kenyataan yang paling tidak diplomatik oleh Armitage... memberitahu ketua pengarah (risikan), kami bukan sahaja perlu membuat keputusan sama ada menyebelahi Amerika atau bersama pengganas, malah jika kami memilih pengganas, maka kami perlu bersedia untuk dibom sehingga kembali ke Zaman Batu."
Bagaimanapun Armitage menafikan pernah mengeluarkan ancaman bom kepada Pakistan, tetapi mengakui memberi amaran keras.