WASHINGTON 9 Sept. - Senat Amerika Syarikat (AS) semalam mendedahkan maklumat perisikan mendapati bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein sebenarnya tidak mempunyai hubungan dengan rangkaian Al-Qaeda. Pendedahan dalam satu laporan setebal 400 halaman itu ternyata bercanggah dengan kenyataan Presiden AS, George W.Bush sebelum ini bagi menghalalkan serangannya ke atas Iraq.
Bush selama ini menyifatkan, kehadiran bekas pemimpin tertinggi Al-Qaeda di Iraq, Abu Musab al-Zarqawi di Iraq dari Mei hingga November 2002 merupakan bukti kukuh bahawa kerajaan Saddam menjalin hubungan dengan Al-Qaeda.
Bagaimanapun, Abu Musab terkorban dalam satu serangan tentera udara AS pada 7 Jun lalu.
Laporan yang dikeluarkan semalam itu buat pertama kali turut mendedahkan satu laporan penilaian oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) bertarikh Oktober 2005 yang menyebut, kerajaan Saddam tidak melindungi atau pun memberi kebebasan kepada pejuang Al-Qaeda termasuk Abu Musab al-Zarqawi dan pengikutnya untuk menjalankan aktiviti di Iraq.
Ini merupakan laporan kedua berhubung analisis maklumat perisikan sebelum perang ke atas Iraq. Laporan pertama dikeluarkan pada Julai 2004 yang memberikan penekanan kepada kegagalan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dalam membuat anggaran terhadap program senjata nuklear Iraq.
Hasil laporan itu juga akan memberi tekanan kepada Bush dan parti Republikan pimpinannya untuk mengulangi kejayaan mereka dalam pilihan raya Kongres pada November ini.
Parti pembangkang, Demokrat dijangka menggunakan isu Iraq sebagai platform utama mereka untuk memancing undi pada pilihan raya Kongres nanti.
Dalam laporan tersebut, Saddam memberitahu pegawai-pegawai AS bahawa beliau tidak pernah bekerjasama dengan Osama bin Laden walaupun menyedari terdapat segelintir pegawai dalam kerajaannya pernah bertemu dengan pemimpin Al-Qaeda itu.
Malah bekas Perdana Menteri Iraq, Tariq Aziz sendiri ketika disoal siasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Saddam menyampaikan sentimen negatif terhadap Osama.
Laporan Dewan Senat itu turut menyalahkan kegagalan pengumpulan maklumat perisikan tepat yang akhirnya membawa kepada penaklukan AS ke atas Iraq pada 2003.
Laporan Senat itu diakhiri dengan penemuan bahawa maklumat-maklumat perisikan selepas perang tidak menyokong sebuah laporan perisikan 2002 yang mendakwa Iraq menjalankan program nuklear, memiliki senjata biologi mahupun membangunkan kemudahan bergerak untuk menghasilkan gas-gas beracun.
Seorang senator dari Parti Demokrat, Carl Levin menyifatkan pendedahan terbaru itu sebagai bukti sah bahawa pentadbiran Bush dan timbalannya, Dick Cheney memalsukan maklumat sebagai satu cara meyakinkan penduduk bahawa Saddam mempunyai perkaitan dengan Al-Qaeda
|