WASHINGTON 27 Sept. - Perang di Iraq menimbulkan kebencian semakin mendalam terhadap Amerika Syarikat (AS) dan dijangka meningkatkan bilangan militan anti-AS dalam tempoh lima tahun akan datang. Kesimpulan itu dibuat oleh penganalisis perisikan persekutuan dalam laporan National Intelligence Estimate (NIE) yang bercanggah dengan dakwaan Presiden George W. Bush kononnya dunia semakin selamat.
Laporan suram itu dibatalkan status sulitnya dan disiarkan kepada umum atas arahan Bush selepas pembocorannya pada hujung minggu mencetuskan kegemparan kerana kesimpulannya begitu menyimpang daripada jaminan yang diberikan oleh pentadbiran Bush.
Dokumen yang berasaskan pandangan penganalisis perisikan terkemuka AS itu menyimpulkan bahawa ancaman daripada puak pelampau telah merebak dari segi bilangan dan jangkauan geografi sekalipun struktur kepimpinan Al-Qaeda mengalami kerosakan teruk.
Bush dan penasihat kanan beliau telah menyatakan, penilaian mengenai keganasan global yang sebelum ini dirahsiakan itu menyokong hujah mereka bahawa dunia bertambah selamat disebabkan perang di Iraq.
Bagaimanapun lebih tiga muka laporan NIE itu mengandungi amaran mengenai ancaman keganasan yang semakin merebak, bertentangan dengan gambaran optimis pentadbiran Bush.
"Jika trend ini berterusan, ancaman terhadap kepentingan AS di dalam dan luar negara akan bertambah rencam dan membawa kepada peningkatan serangan di seluruh dunia," menurut dokumen itu.
"Usaha untuk mencari dan melemahkan kumpulan-kumpulan ‘jihad’ akan menjadi bertambah sukar kerana mereka berkongsi matlamat dan kegiatan mereka tersebar luas."
Penilaian perisikan yang berdasarkan konsensus 16 agensi perisikan AS itu disiapkan pada April lalu.
Ia mencetuskan perbahasan hangat menjelang pilihan raya pertengahan penggal berhubung haluan dasar keselamatan negara AS dalam tahun-tahun selepas AS melancarkan serangan ke atas Iraq pada 2003.
Hampir kesemua penilaian dalam laporan NIE itu memberikan gambaran negatif mengenai situasi semasa
|