WASHINGTON 8 Sept. - Enam kuasa dunia yang sedang mempertimbangkan mengenakan sekatan ke atas Iran berhubung program nuklearnya, merancang untuk menyambung semula rundingan melalui telefon minggu depan, selepas perbincangan 'produktif' di Berlin semalam. Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Sean McCormack berkata, Penolong Setiausaha Negara AS, Nicholas Burns telah mengadakan perbincangan itu bersama rakan sejawatannya dari China, Rusia, Perancis, Britain dan Jerman.
"Pengarah-pengarah politik (dari negara terbabit) menyatakan rasa kesal mereka kerana Iran tidak menerima syarat komuniti antarabangsa seperti yang terkandung dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1969," kata McCormack.
"Mereka telah berbincang tentang langkah yang boleh diambil Majlis Keselamatan sebagai respons terhadap kegagalan Iran dalam memenuhi resolusi itu," jelasnya.
"Semua pihak bersetuju pada kali ini kami tidak akan membincangkan tentang butiran pertimbangan sekatan."
Dalam pada itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana berkata, PBB tidak akan mengenakan sekatan terhadap Iran selagi rundingan terus diadakan.
Kenyataan Solana itu dikeluarkan dalam lawatan beliau ke Copenhagen hari ini dan dijadual bertemu dengan Ketua Perunding Nuklear Iran, Ali Larijani di sebuah lokasi yang dirahsiakan esok.
"Apa yang boleh saya nyatakan adalah tiada sebarang tindakan di New York (berhubung sekatan) selagi mesyuarat dengan Ali diteruskan," Solana memberitahu AFP.
Iran gagal memenuhi tarikh tamat yang ditetapkan resolusi PBB pada 31 Ogos lepas yang meminta negaranya menghentikan aktiviti pengayaan uranium, iaitu satu proses membuat bahan api reaktor nuklear yang juga boleh menghasilkan bahan bom atom.
Kata Solana, semua akan dapat dijelaskan esok sama ada kemungkinan untuk memulakan rundingan antara Teheran dan anggota tetap Majlis Keselamatan iaitu Britain, China, Perancis, Rusia dan AS.
|