BANDAR GAZA 11 Sept. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dalam satu kenyataan hari ini berkata, parti pimpinannya, Fatah dan parti pemerintah, Hamas bersetuju membentuk kerajaan campuran - satu langkah yang dilihat rakyat Palestin boleh meredakan sekatan antarabangsa. Kedua-dua pihak terbabit telah mengadakan rundingan selama berbulan-bulan bagi membentuk kerajaan campuran, yang jelas dapat mengendurkan pendirian anti-Israel kepada pejuang kerajaan Hamas.
"Usaha berterusan untuk membentuk kerajaan penyatuan kebangsaan telah berjaya dilaksanakan dengan pengumuman program politik untuk kerajaan ini," kata Mahmoud dalam satu kenyataan kepada televisyen Palestin dan pegawai agensi berita WAFA.
"Usaha akan diteruskan dalam masa beberapa hari lagi bagi melengkapkan pembentukan kerajaan penyatuan kebangsaan," katanya.
Setakat ini, masih tiada butiran tentang peruntukan kerajaan campuran itu, namun ia dikatakan dibuat berdasarkan usul yang melibatkan pengiktirafan Israel.
Sehubungan itu, Mahmoud bakal membubarkan kerajaan Hamas dalam masa 48 jam sebagai persediaan mewujudkan kerajaan campuran.
Barat dan Israel telah menyekat bantuan antarabangsa bernilai jutaan dolar kepada Hamas yang memenangi pilihan raya Januari lalu, dengan meminta kerajaan itu melucutkan senjata, mengiktiraf Israel dan menerima perjanjian damai sedia ada.
Ketua rundingan Palestin, Saeb Erekat berkata, banyak butiran akhir yang perlu diselesaikan
|