LAPPEENRANTA 1 Sept. - Para menteri luar Eropah bertemu hari ini dalam usaha mengekalkan dialog terbuka dengan Iran walaupun republik itu enggan menggantung aktiviti nuklearnya. Semasa mesyuarat dua hari di selatan Finland, para menteri terbabit akan membincangkan cara mengukuhkan pengaruh Kesatuan Eropah (EU) di Asia Barat, khususnya dengan Israel.
Program nuklear Iran akan menjadi tumpuan semasa mesyuarat yang diadakan di bandar Lappeenranta yang berhampiran sempadan dengan Rusia.
Hari ini Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mengulangi bahawa negaranya "tidak akan menyerahkan haknya" membangunan program nuklear.
Tindakan Iran menolak resolusi Majlis Keselamatan telah menyebabkan EU mencari keseimbangan diplomatik; dan bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan sekatan tanpa perlu mengambil kira dialog.
"Ada dua perkara yang terjadi serentak," kata seorang diplomat EU.
Ketua Dasar EU, Javier Solana juga akan memberi taklimat kepada menteri-menteri terbabit esok bagi usaha diplomatik dan persetujuan untuk bersemuka dengan ketua perunding nuklear Iran, Ali Larijani.
Solana dan Ali akan mengadakan pertemuan seawal Rabu ini bagi membincangkan jawapan 21 muka surat oleh Teheran mengenai pakej politik dan insentif ekonomi antarabangsa sebagai tukaran persetujuan menggantung pengayaan uranium.
"Ia akan menjadi mesyuarat untuk memberikan penjelasan dan memberikan peluang kepada mereka memberikan jawapan," kata seorang diplomat sambil menambah, dokumen jawapan Iran itu "panjang dan mengelirukan."
Menurut seorang diplomat Barat di VIenna, mesyuarat susulan akan diadakan dalam tempoh beberapa hari selepas itu - 7 September - mesyuarat oleh Britain, China, Perancis, Jerman, Rusia dan AS.
|