RAMALLAH 19 Ogos - Tentera Israel hari ini menahan Timbalan Perdana Menteri Palestin, Nasser Shaer dalam operasi berterusan terhadap parti Hamas yang kini memerintah Palestin. Isteri Nasser, Huda, memberitahu suaminya dibawa pergi oleh askar-askar Yahudi yang menyerbu rumah mereka di Tebing Barat pada pukul 4.30 pagi tadi. Beliau berkata, suaminya telah bersembunyi sejak Israel memulakan operasi terhadap Hamas pada akhir Jun lalu selepas anggota pergerakan itu menyusup ke selatan Israel dari Gaza dan menawan askar Yahudi, Koperal Gilad Shalit.
Sejak itu, katanya, suaminya jarang-jarang berada di rumah.
Penahanan Nasser menjadikan jumlah anggota kabinet Hamas yang ditahan oleh pihak Israel kini meningkat kepada empat orang.
Israel juga menahan 28 Ahli Parlimen Palestin sejak akhir Jun lalu sementara empat lagi menteri dibebaskan selepas ditahan selama beberapa hari. Walaupun Israel melancarkan operasi menahan para pegawai Hamas serta melakukan serangan selama tujuh minggu terhadap Gaza, pihak Palestin tetap tidak melepaskan askar Yahudi yang ditahan oleh mereka.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel mengesahkan pihaknya telah menahan Nasser dan menegaskan tindakan itu dibuat disebabkan 'keanggotaan' Nasser dalam 'pertubuhan pengganas'.
Israel enggan menerima kemenangan Hamas pada pilihan raya Palestin kerana menganggap pertubuhan itu sebagai pengganas.
|