TEHERAN 28 Ogos - Iran menyifatkan ugutan Amerika Syarikat (AS) untuk membentuk sebuah perikatan bebas bagi mengenakan sekatan jika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal bertindak berhubung program nuklear Teheran sebagai satu penghinaan terhadap fungsi majlis itu. Akhbar The Los Angeles Times kelmarin melaporkan, Duta AS ke PBB, John Bolton menyatakan Washington bersedia untuk bertindak secara bebas dengan sekutunya bagi membekukan aset Iran dan mengenakan sekatan perdagangan jika Majlis Keselamatan gagal bertindak.
Washington telah menuntut tindakan segera jika Iran tidak mengendahkan tuntutan Majlis Keselamatan supaya menghentikan kegiatan pengayaan uranium selewat-lewatnya pada Khamis ini.
Penganalisis berkata, perpecahan dalam Majlis Keselamatan terutamanya tentangan daripada kuasa pemegang veto, Rusia dan China, boleh melengahkan sebarang tindakan.
"Kenyataan (Bolton) itu jelas satu penghinaan kepada Majlis Keselamatan," kata jurucakap kerajaan Iran, Gholamhossein Elham pada sidang media di sini.
"Kenyataan tidak berasas itu hanya bertujuan untuk membuli dan menunjukkan mereka tidak layak untuk menjadi anggota Majlis Keselamatan," katanya.
Iran setakat ini belum menunjukkan sebarang tanda akan menghentikan kegiatan pengayaan uranium seperti yang dituntut.
The Los Angeles Times melaporkan AS merancang untuk mengemukakan draf resolusi sekatan sejurus selepas tarikh akhir Khamis ini jika Iran tidak mengubah pendirian.
Bolton berkata, Washington akan mengusahakan tindakan diplomatik serentak di luar PBB jika Rusia dan China menolak resolusi itu.
|