TYRE 8 Ogos - Tentera rejim Yahudi dan para pejuang Hizbullah terus bertempur sengit hari ini di beberapa medan pertempuran di selatan Lebanon, termasuk berhampiran bandar Tyre. Kedua-dua pihak memberitahu, pertempuran sengit itu berlaku di kampung Debel terletak tujuh kilometer di utara sempadan - di mana para pejuang Hizbullah berjaya membunuh tiga askar Yahudi yang menceroboh.
Rejim Tel Aviv telah mengarahkan beberapa ribu askarnya menceroboh masuk ke selatan Lebanon yang menganjur dari pesisir laut Mediterranean di barat sehingga kampung Kfar Kila di timur, tetapi mendapat tentangan sengit para pejuang Hizbullah.
Tentera Yahudi dilaporkan telah menceroboh sejauh lapan kilometer ke wilayah Lebanon yang bertujuan melemahkan kedudukan para pejuang dan menghentikan serangan roket Hizbullah.
"Kami menempatkan askar dari laut di barat hingga ke Metula di timur. Tentera kami beroperasi di zon sehingga 8 kilometer ke dalam wilayah Lebanon," kata seorang sumber keselamatan Israel. Dalam pada itu, serangan Israel di kampung Ghaziyeh berhampiran bandar Sidon, di selatan Lebanon, mengorbankan enam penduduk awam dan memusnahkan dua bangunan.
Pertempuran sengit meletus selepas kerajaan Lebanon mengumumkan kesediaannya menghantar 15,000 tentera ke selatan Lebanon yang menjadi kubu kuat Hizbullah apabila askar Israel berundur.
Ketika kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan yang meruncing, Tyre telah terputus hubungan daripada dunia luar selepas tentera Yahudi memusnahkan sebuah jambatan yang menghubungkan bandar ini dengan bahagian utara Lebanon serta memberi amaran kepada penduduk yang ingin melakukan perjalanan ke utara supaya tidak menggunakan kenderaan.
|