BAITULMAQDIS 9 Ogos - Tentera Israel dipercayai menghadapi krisis dalaman yang teruk apabila timbalan pemerintahnya dilantik bagi mengawasi operasi pencerobohan ke atas Lebanon. Pelantikan tersebut dibuat ketika tindakan ofensif sedang dilakukan yang mengetepikan pemerintah tentera bertanggungjawab ke atas wilayah utara Israel, Mejar Jeneral Udi Adam.
Pihak tentera telah mengumumkan pelantikan Mejar Jeneral Moshe Kaplinski, dan media Israel mengaitkan langkah tersebut dengan rancangan rejim Tel Aviv mempertingkatkan gerakan ofensif serta kritikan awam yang semakin meningkat terhadap cara tentera mengendali konflik dengan para pejuang Hizbullah.
Walaupun pihak tentera membuat penafian, pelantikan itu dilihat sebagai satu rombakan di kalangan pegawai tertinggi rejim tersebut dan ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Penganalisis tentera, Zeev Schiff melalui tulisannya dalam akhbar Haaretz berkata, pelantikan baru itu memberi isyarat adanya masalah kuasa pemerintah tentera yang serius.
"Jelas sekali pertukaran pemerintah tentera merupakan sesuatu yang tidak baik, terutamanya kepada Adam secara peribadi, juga isyarat negatif kepada tentera dan orang awam secara keseluruhan," tulisnya.
Pertukaran secara mengejut pernah dilakukan pada 1973 apabila para jeneral pasukan simpanan termasuk Ariel Sharon dihantar bertugas di selatan Israel semasa perang dengan Mesir bagi menggantikan jeneral yang bertanggungjawab, Shmuel Gorodish.
Kebanyakan kritikan tercetus berhubung kemajuan yang amat perlahan dari kempen serangan udara kepada operasi darat dan kegagalan tentera rejim mengawal seluruh Lebanon berbanding pencerobohan 1982
|