TEHERAN 16 Ogos - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata, beliau mahu Asia Barat yang baru - frasa yang digunakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) - tetapi idea beliau mengenai rantau itu ialah sebuah kawasan tanpa hegemoni Amerika dan Britain. "Malah negara kami juga mahu Asia Barat yang baru. Asia Barat yang negara kami mahukan ialah Asia Barat yang bebas, bebas daripada hegemoni Amerika dan Britain," katanya semasa perhimpunan di barat laut Iran semalam.
Kegagalan AS untuk mengadakan gencatan senjata awal dalam pertempuran di Lebanon – yang turut disokong oleh Britain - menimbulkan kemarahan ramai di Asia Barat yang mana terdapat penentangan yang kuat terhadap penaklukan Iraq oleh tentera AS dan British.
Ramai di rantau itu dan dunia Islam juga melihat polisi AS sebagai berat sebelah terhadap Israel.
"Mereka (Israel) menyerang Lebanon sebagai permulaan rancangan baru Asia Barat. Mereka beranggapan untuk menstabilkan kuasa mereka dengan memecahkan perpaduan dan penentangan negara Lebanon dan meluaskan pengaruh mereka ke seluruh Asia Barat," katanya.
"Saya mahu mengumumkan di sini mereka tidak boleh menganggap gencatan senjata bermakna krisis itu telah berakhir," katanya yang merujuk kepada gencatan senjata antara Lebanon dan Hizbullah sejak kelmarin.
|