Tidak diragukan lagi, Israel telah membuat pencapaian tetapi ia tidak mencukupi. Ekoran Peperangan Yom Kippur yang mana tentera pertahanan Israel (IDF) menyeberangi Terusan Suez dan mengepung tentera Mesir, kedua-dua pihak Israel dan Mesir mendakwa telah mencapai kemenangan. Rakyat Israel merasa kecewa manakala rakyat Mesir merasa bangga.
Dalam tempoh beberapa hari akan datang, akan ada tuduhan yang mencurah-curah mengenai perkara memalukan untuk menjatuhkan IDF. Israel tidak memerlukan jawatankuasa penyiasat terdiri daripada ahli-ahli politik yang tujuan utamanya ialah mahu melihat kejatuhan pesaing mereka.
Israel memerlukan pakar bagi menyiasat dan mencapai kesimpulan untuk digunakan sebagai persediaan menghadapi konflik pada masa depan. Malah pakar juga mengalami permusuhan peribadi seperti kes bekas ketua staf, Moshe Ya'alon, yang tidak dapat membuat temu janji atau berhubung melalui telefon dengan Dan Halutz, ketua IDF ketika ini.
Perang ini perlu dibahagikan kepada aspek ketenteraan dan politik. Dari segi ketenteraan, IDF berjaya melepaskan tumbukan. Hizbullah mengalami tamparan hebat terhadap semua unit pemerintahan dan kedudukan logistik. Unit elitnya bertempur dengan baik dan bersemangat dengan mempunyai pengetahuan yang baik mengenai cerun.
Pada masa yang sama, Israel mengalami tamparan hebat di bandar utara dan IDF tidak berjaya mengehadkan bilangan roket yang dilancarkan terhadap barisan belakang. Hanya peluru berpandu jarak jauh Hizbullah benar-benar dapat dimusnahkan.
Sepanjang perang, Israel gagal membunuh pemimpin Hizbullah. Tentera udara membuktikan ketangkasannya di utara dekat Sungai Litani, tetapi gagal menyekat roket jarak dekat di selatan. Teknologi terkini tentera udara tidak mencukupi untuk menangani setiap masalah operasi yang dihadapinya.
Kuasa pencegahan Israel bergantung kepada tentera udara dan keupayaan untuk bertindak balas dengan cepat dan berkesan terhadap sasaran yang besar seperti Beirut. Terdapat anggota Kabinet yang percaya tentera udara telah menyebabkan kerosakan yang terlalu besar. Beberapa yang lain percaya IDF sepatutnya lebih agresif.
Pasukan darat IDF tidak menikmati nilai pencegahan yang sama seperti tentera udara. Boleh jadi ia telah dirosakkan oleh penggunaan peluru berpandu antikereta kebal Hizbullah dan kegagalan logistik dalam penghantaran bekalan kepada pasukan medan.
Masih tidak jelas mengapa IDF hanya meraih kelulusan Kabinet untuk serangan darat pada penghujung perang. IDF juga mengelak daripada mengerahkan tentera ke kawasan utama yang mana kebanyakan peluru berpandu jarak dekat telah dilancarkan.
Secara politiknya, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert dan Menteri Luar, Tzipi Livni berupaya memperoleh sokongan penuh dalam usaha perang Israel di AS dan PBB.
Satu lagi kejayaan ialah meningkatkan kesedaran antarabangsa bahawa perang itu mempunyai kaitan yang rapat dengan Iran.
* Petikan daripada laman web akhbar Israel - Haaretz.com