TYRE 14 Ogos - Sebahagian daripada hampir sejuta rakyat Lebanon yang menjadi pelarian disebabkan serangan Israel selama lebih sebulan berduyun-duyun berlepas pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini dengan harapan untuk menemui 'kediaman yang masih utuh'. Penduduk di bandar pelabuhan Tyre keluar dari tempat perlindungan sebaik sahaja keadaan kembali tenang selepas gencatan senjata tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikuat kuasa pada 8 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Malaysia).
Penduduk pulang untuk memeriksa rumah mereka dan membeli roti dan barang keperluan lain, kata seorang wartawan AFP di tempat kejadian.
Kereta dan lori pikap yang membawa penduduk bersama keluarga dan barang mereka kelihatan meninggalkan Tyre mengikut jalan di kawasan pergunungan yang menghala ke kampung-kampung di selatan Lebanon.
Konvoi serupa tiba di Tyre dari utara apabila penduduk yang melarikan diri dari bandar Sidon mula berlepas pulang.
Hussein Abu Zeid, 38, berlepas dengan kereta ke kampungnya di Ramadiyeh, timur Tyre.
"Saya mahu pulang ke kampung saya sekalipun rumah saya dan rumah saudara lelaki saya serta kedai kami telah musnah," katanya.
Di Sidon, seorang jurutera, Imad Ibrahim berlepas dengan keretanya ke kampung Dweir tepat pada pukul 8 pagi.
"Saya akan pergi seorang diri untuk memeriksa keadaan rumah kami di kampung dan melihat sama ada gencatan senjata ini bertahan. Jika segala-galanya baik, saya akan kembali ke Sidon untuk membawa balik keluarga saya,"katanya.
Bunyi tembakan tidak lagi kedengaran di selatan Lebanon hari ini selepas gencatan senjata dilaksanakan. Bagaimanapun diplomat menjangka gencatan senjata itu goyah kerana puluhan ribu askar Israel masih berada di selatan Lebanon dan mereka tidak akan berundur sepenuhnya sehingga pasukan tentera pengaman antarabangsa PBB tiba bersama-sama 15,000 askar Lebanon.
Sumber keselamatan di selatan Lebanon berkata, serangan udara dan tembakan meriam Israel berterusan sehingga beberapa minit sebelum gencatan senjata itu mula berkuat kuasa.
Laporan lewat malam ini menyebut, enam pejuang Hizbullah terbunuh dalam pertempuran dengan askar Israel di kampung Hadatha. Insiden seumpama itu juga berlaku di bandar Farun dan Shama.
|