BEIRUT 21 Ogos - ‘Kemenangan’ Hizbullah ke atas Israel dijangka menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Ehud Olmert dan membawa kepada konfrontasi pusingan kedua antara Israel dan Hizbullah, kata pemimpin Druze Lebanon, Walid Jumblatt dalam temu ramah dengan WorldNetDaily. "Saya melihat siasatan mengenai prestasi tentera Israel yang buruk. Saya melihat Olmert gagal dan (bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu) akan kembali berkuasa.
"Pusingan kedua konfrontasi antara Hizbullah dan elemen serantau yang lain akan berlaku," kata Walid yang mengetuai Parti Sosialis Progresif Lebanon dan dianggap sebagai ahli politik terkemuka Lebanon yang anti-Syria.
Beliau berpendapat tiada persoalan timbul mengenai kemenangan Hizbullah dalam konflik ketenteraan selama sebulan dengan Israel itu yang bermula pada 12 Julai lalu selepas pejuang Lebanon menyerbu unit rondaan Israel, menawan dua askar dan membunuh lapan askar yang lain.
"Sudah tentu Hizbullah menang. Kita melihat selepas lebih sebulan di sebalik kemusnahan besar di Lebanon, Israel tidak mampu mara walau seinci ke selatan.
"Hizbullah masih mempunyai keupayaan. Mereka memiliki senjata canggih dan roket," ujarnya.
Walid berkata, tidak ada peluang untuk tentera Lebanon atau mana-mana pasukan antarabangsa untuk melucutkan senjata Hizbullah atau menghalang mereka daripada berkumpul semula.
"Bagaimana boleh tentera Lebanon atau pasukan antarabangsa melakukan apa yang tidak mampu dilakukan oleh tentera yang paling hebat di Asia Barat (Israel)? Jangan minta kami melucutkan senjata dengan paksa. Ia adalah satu fantasi.
"Konfrontasi baru boleh dijangkakan. Pertempuran pusingan pertama sudah selesai. Hizbullah menang dan menunggu pusingan seterusnya. Hizbullah adalah cabang kepada Iran dan ia akan digunakan untuk menarik Lebanon ke dalam konflik berterusan," katanya
|