Beberapa penganalisis berpendapat, walaupun Iran bukan di sebalik konflik di Lebanon, di mana Hizbullah dianggap sebagai proksi Teheran, negara ini pasti menggunakan krisis ini.
"Iran telah menghantar isyarat yang jelas kepada AS dan Israel: jangan sentuh saya langsung," kata penganalisis tentera, Paul Beaver.
"Anda fikir anda menempuh masa-masa yang sukar berdepan dengan penentang di Iraq? Cuba bayangkan masalah apabila taktik dan senjata yang digunakan di Lebanon jika Iran diserang," katanya.
Malah seorang ulama tertinggi Iran memberi amaran, ia akan melancarkan peluru berpandu balistik ke atas Tel Aviv jika diserang oleh AS dan Israel.
"Jika mereka mahu menceroboh Iran, mereka perlu takut hari yang peluru berpandu jarak 2,000 kilometer akan mengenai Tel Aviv," kata Ahmad Khatami, anggota Perhimpunan Pakar-Pakar yang memantau tugas pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Beaver berkata, Iran bukan sekadar menjadi pembekal utama pejuang Hizbullah, malah menghantar anggota Pengawal Revolusi bagi menyertai pertempuran di selatan Lebanon, terutamanya serangan peluru berpandu ke atas kapal perang Israel pada 14 Julai yang membunuh empat askar Yahudi.
Bagaimanapun Iran menafikan dakwaan menghantar senjata atau anggota dalam menentang pencabulan Israel.
Michael Young, penulis editorial akhbar Daily Star Lebanon berkata, beliau yakin Iran terbabit dalam serangan ke atas bot Israel dan ia telah menjadi rangsangan kepada pemimpin Hizbullah, Shekih Hassan Nasrallah melancarkan serangan roket ke atas Tel Aviv.
Young, seperti juga Ali Ansari, pakar mengenai Iran di Chatham House berkata, belia tidak percaya Iran mengalami kerugian dalam konfrontasi Hizbullah dengan Israel, malah mendapat banyak faedah.
"Kita memberi banyak kredit kepada Iran apabila memikirkan mereka mempunyai pelan utama," kata Ali.
Young pula berkata, bagi Iran sudah jelas AS dan Israel menggunakan pertelingkahan dengan Hizbullah untuk menyalahkan Teheran.
Perasaan yang sama turut dikongsi oleh wartawan yang pernah menerima Hadiah Pulitzer, Seymour Hersh yang menulis dalam majalah The New Yorker.
Beliau mendedahkan, kempen ketenteraan Israel ke atas Lebanon telah dirancang sebelum 12 Julai.