Fuad yang tersedu-sedu manakalanya tangannya terketar-ketar ketika menyampaikan ucapan pada mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Arab di sini hari ini, turut menyentuh perasaan hadiran apabila mengumumkan 40 rakyat Lebanon terbunuh dalam serangan terbaru.
"Sejam yang lalu pembunuhan kejam berlaku di kampung Hula, sungguh kejam, di mana lebih 40 orang terbunuh," kata beliau.
Bagaimanapun kemudian beliau mengesahkan hanya seorang terkorban dan yang lain terselamat dalam serangan udara Israel.
Kematian tersebut merupakan sebahagian daripada hampir 30 rakyat Lebanon yang terbunuh hari ini.
"Pembunuhan tidak mengecualikan mana-mana wilayah Lebanon," kata beliau.
Dalam pada itu, tentera Israel merancang menyerang sasaran infrastruktur strategik dan simbol kerajaan Lebanon selepas serangan roket Hizbullah membunuh 15 orang di utara Israel, demikian menurut laporan akhbar Israel, Haaretz, hari ini.
"Kami sekarang dalam proses meningkatkan serangan. Kami akan terus menembak bukan saja apa yang bergerak di kawasan Hizbullah tetapi menyasarkan infrastruktur awam yang strategik," kata seorang jeneral kanan tentera rejim itu kepada akhbar tersebut.
Ia tidak menyatakan bentuk simbol kerajaan Lebanon yang dimaksudkan itu.
Ia turut disahkan oleh Menteri Pertahanan Israel, Amir Peretz yang berkata, tindakan akan diperhebatkan jika usaha diplomatik gagal mencapai matlamat dalam beberapa hari lagi.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush pula memberi amaran usaha mempercepatkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak akan menyelesaikan konflik Asia Barat dengan segera.
Pegawai-pegawai AS menjangkakan resolusi itu akan diluluskan esok, bukan hari ini sebagaimana dijadualkan sebelum ini.
Dalam pada itu, AS dan Perancis mendapat tentangan keras daripada Lebanon dan dunia Arab semalam dalam usaha mereka untuk mempercepatkan kelulusan satu draf resolusi PBB yang bertujuan untuk menghentikan konflik yang makin sengit antara Israel dengan Hizbullah.
Tentangan itu banyak berpunca daripada isu pengunduran tentera Israel dari selatan Lebanon.
Washington dan Paris berharap dapat menyiapkan draf itu dalam bentuk akhir untuk diputuskan dalam pengundian di Majlis Keselamatan hari ini.
Punca utama kegagalan itu ialah keengganan AS selaku sekutu terdekat Israel untuk menyokong gencatan senjata segera tanpa menangani isu-isu yang perlu diselesaikan bagi mencapai perdamaian berkekalan.