GAZA 27 Ogos - Israel melancarkan dua peluru berpandu yang mengenai sebuah kenderaan Reuters di Genting Gaza awal hari ini dengan mencederakan dua wartawan yang membuat liputan pencerobohan tentera rejim Yahudi di wilayah Palestin itu. Askar Israel turut membunuh dua pejuang Hamas dan mencederakan lima penduduk Palestin lain semasa pencerobohan yang bermula semalam. Tentera Israel mendakwa kenderaan tersebut diserang kerana tidak dilabel sebagai milik media dan pergerakannya di sebuah kawasan pertempuran mencurigakan.
"Semasa operasi, serangan udara dilancarkan ke atas sebuah kenderaan yang dipandu secara mencurigakan dekat askar Israel," kata jurucakap tentera Israel, Kapten Noa Meir.
Bagaimanapun kereta berperisai itu jelas dilabel sebagai kenderaan media dengan logo Reuters serta tulisan TV dan Press tertera pada semua bahagian.
Pengarang Urusan Reuters bagi Eropah, Asia Barat dan Afrika, Michael Lawrence berkata: "Kami amat bimbang dengan serangan terhadap sebuah kenderaan media yang dilabel dengan jelas kerana wartawan hanya menjalankan tugas untuk melaporkan berita dari Gaza.
"Kami difahamkan tentera Israel mendakwa tidak berniat untuk menyerang media tetapi insiden ini tidak wajar sama sekali dan kami menggesa siasatan rapi dilakukan tentangnya bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang."
|