BAITULMAQDIS 18 Ogos - Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert menangguhkan rancangan pengunduran Israel dari beberapa bahagian Tebing Barat buat masa sekarang berikutan perang di Lebanon baru-baru ini. Akhbar Haaretz memetik Olmert sebagai berkata bahawa isu pengunduran itu tidak lagi menjadi keutamaan dalam agenda kerajaan beliau.
Sumber di pejabat Perdana Menteri mengakui keutamaan lebih mendesak bagi Olmert sekarang ialah mengetuai usaha pemulihan daripada kerosakan ekonomi di utara Israel akibat bedilan roket Hizbullah selama sebulan.
Mengikut rancangan pengunduran dari Tebing Barat itu, Israel tanpa menerusi rundingan damai dengan pihak Palestin akan membubarkan puluhan kawasan penempatan Yahudi yang terpencil sambil memantapkan kawasan penempatan utama yang hendak dipertahankannya di samping menetapkan sempadan Israel menjelang 2010.
Bagaimanapun meletusnya semula keganasan di Genting Gaza, iaitu wilayah Palestin yang ditinggalkan oleh Israel tahun lepas, serta konflik di Lebanon telah mengurangkan sokongan rakyat Israel terhadap pengunduran seterusnya.
Puak berhaluan kanan yang membantah pengunduran dari Gaza itu telah memberi amaran langkah sedemikian hanya menaikkan lagi semangat pejuang Palestin untuk memerangi Israel. Rakyat Palestin pula terus berasa sangsi terhadap rancangan pengunduran Olmert yang disifatkan oleh mereka sebagai batu penghalang untuk mereka menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju meliputi Tebing Barat dan Genting Gaza
|