TEBING BARAT 21 Ogos - Seorang lagi pemimpin Hamas, Mahmoud al-Ramahi dilaporkan ditahan oleh tentera Israel di rumahnya di El Bireh, Ramallah di sini awal pagi ini. Setiausaha Agung Parlimen Palestin itu ditahan oleh pihak Israel yang mengepung kediamannya bersama pasukan khas perkhidmatan keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet.
Penahanan Mahmoud berlaku sehari selepas Perdana Menteri Palestin, Nasser al- Shaer ditahan oleh pihak tentera Yahudi, kelmarin dalam satu operasi untuk 'melemahkan pentadbiran' Hamas di Palestin.
Kedua-dua mereka merupakan anggota pergerakan Hamas - parti yang memenangi pilihan raya umum Palestin, awal tahun ini.
Mahmoud, menduduki tempat keempat dalam senarai pemimpin tertinggi Hamas.
Tentera Israel yang mengesahkan penangkapan Mahmoud berkata, lelaki itu ditahan kerana terlibat dalam 'pergerakan pengganas'.
Israel dan sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS) serta Britain telah meletakkan Hamas di bawah senarai pergerakan pengganas antarabangsa dan tidak mengiktiraf kepimpinan pergerakan itu di Palestin walaupun kemenangan Hamas menunjukkan penduduk Palestin menerima perjuangan Hamas di negara itu.
Semalam, Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh telah mengemukakan rayuan kepada masyarakat antarabangsa agar campur tangan dalam usaha membebaskan Nasser.
Menurut Ismail, penahanan para pemimpin Palestin itu merupakan antara usaha Israel untuk memperkecilkan sistem politik Palestin yang kini dipimpin oleh Hamas
|