BAITULMAQDIS 22 Ogos - Selepas gencatan senjata antara Israel dan gerila Hizbullah di Lebanon hampir mencapai usia seminggu, media Israel kini mengalihkan tumpuan mereka kepada beberapa siri skandal dalaman. Skandal itu melibatkan Presiden, Moshe Katsav; Perdana Menteri, Ehud Olmert; Menteri Kehakiman, Haim Ramon dan pegawai tinggi tentera.
Presiden Katsav terperangkap dalam skandal seks manakala Ramon meletak jawatan akibat mencium seorang kakitangan kerajaan dan Olmert pula dihantui oleh isu pembelian hartanah.
Seorang bekas petugas di kediaman rasmi Presiden Katsav berkata, beliau telah dipaksa mengadakan hubungan seks dengan Presiden itu.
Katsav menafikan dakwaan wanita terbabit tetapi polis malam tadi menyerbu kediaman rasmi beliau dan merampas komputer serta beberapa dokumen. Mereka merancang untuk menyoal siasat Katsav, esok.
Menteri Kehakiman Haim Ramon pula meletak jawatan lewat kelmarin selepas Peguam Negara berkata, pihaknya akan mendakwa ahli politik veteran itu berikutan dakwaan seorang bekas kakitangan kerajaan bahawa menteri itu telah menciumnya secara paksa.
Badan pemerhati utama kerajaan Israel pula mengesahkan ia sedang meneliti terma pembelian pangsapuri di Baitulmaqdis sebanyak RM4.33 juta (AS$1.2 juta) oleh Olmert pada 2004.
Dakwaan itu menyebut Olmert meraih faedah daripada potongan diskaun yang besar dalam pembelian tersebut.
Badan itu mendapati pangsapuri berkenaan sebenarnya bernilai antara RM5.77 juta (AS$1.6 juta) hingga RM6.49 juta (AS$1.8 juta).
Sementara itu, Ketua Staf Angkatan Tentera Israel, Leftenan Jeneral, Dan Halutz mengakui menjual saham portfolio hanya beberapa jam selepas pejuang Hizbullah menawan dua askar Israel dalam serbuan di sempadan pada 12 Julai lalu yang mencetuskan konflik terbaru dengan Lebanon.
Walaupun pihak berkuasa kawal selia itu berkata, beliau tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, ramai penduduk Israel mempersoalkan mengapa mengurangkan kerugian peribadi menjadi keutamaan Halutz pada saat-saat penting perbincangan sedang dijalankan bagi merangka tindak balas tentera
|