BAITULMAQDIS 3 Ogos - Israel mengakui kesilapan menyerang perkampungan Qana, selatan Lebanon yang mengorbankan 28 penduduk awam, namun menuduh pejuang Hizbullah menggunakan penduduk awam sebagai perisai bagi serangan roket yang dilancarkan. Pesawat-pesawat Israel menyerang sebuah pangsapuri di Qana awal Ahad lalu. Pangsapuri itu runtuh dan pasukan penyelamat terpaksa menarik mayat, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dari celah runtuhan.
Berikutan serangan itu, masyarakat antarabangsa menggesa Israel mengadakan gencatan senjata setelah tiga minggu menyerang Hizbullah.
Dalam kenyataan yang meringkaskan laporan inkuiri, Israel berkata, pihaknya tidak tahu ada penduduk awam tinggal di bangunan berkenaan.
Jelas kenyataan itu, "jika ada maklumat yang menunjukkan terdapat orang awam dalam bangunan itu, serangan tidak akan dilancarkan."
Ketua kakitangan tentera Israel, Leftenan Jeneral Dan Halutz, memohon maaf ekoran kematian penduduk awam, namun mendakwa Hizbullah "menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia dan dengan sengaja beroperasi menggunakan kemudahan dalam perkampungan penduduk awam."
Dalam pada itu, para pegawai hospital Lebanon hari ini telah menurunkan angka kematian akibat keganasan Israel di Qana kepada 28 orang daripada 52 mangsa sebelum ini.
"Seramai 28 orang disahkan terkorban, termasuk 16 kanak-kanak dan sembilan lagi cedera,'' kata para pegawai di hospital kerajaan di Tyre, tempat semua mangsa serangan udara rejim Yahudi pada Ahad lalu ditempatkan.
|