TEHERAN 31 Ogos - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad hari ini berikrar Teheran tidak akan berganjak sedikit pun terhadap ugutan dan tekanan terhadap program nuklearnya. Beliau membuat kenyataan tegas itu beberapa jam sebelum Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dijangka melaporkan bahawa Iran telah gagal mematuhi tuntutan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan kegiatan pengayaan uranium.
"Iran tidak akan berganjak seinci pun walaupun menghadapi ugutan serta tekanan dan tidak akan melepaskan hak-haknya," kata Mahmoud ketika berucap di ibu kota wilayah Azarbaijan Barat, Orumiyeh.
"Kuasa-kuasa penindasan tidak mahu Iran maju. Tetapi saya ingin menegaskan kepada mereka, rakyat Iran termasuk pasukan saintis muda yang berjaya mencapai kemuncak teknologi nuklear tanpa bantuan mereka, juga mampu memajukan Iran."
Majlis Keselamatan PBB telah memberi Iran tempoh sehingga hari ini untuk menghentikan pengayaan uranium atau berdepan dengan prospek dikenakan sekatan. Teheran sudah pun menegaskan tidak ada hasrat untuk menghentikan kegiatan nuklear yang sensitif itu.
Amerika Syarikat (AS) yang menuduh Teheran berusaha untuk membina senjata atom di sebalik program tenaga nuklearnya telah melahirkan keyakinan Majlis Keselamatan akan mempersetujui usul sekatan pada bulan depan.
Iran menafikan tuduhan Washington dan menyatakan program nuklearnya bertujuan untuk menghasilkan tenaga nuklear bagi kegunaan awam semata-mata.
"Masalahnya ialah pemimpin Amerika menyangka mereka boleh menyelesaikan segala masalah dengan menggunakan kekerasan dan senjata," kata Mahmoud.
"Namun zaman sudah berubah dan kita berada pada zaman budaya, pemikiran dan lojik, dan kerana inilah mereka menolak tawaran untuk berdebat dengan kita,"katanya.
|