TYRE, Lebanon 1 Ogos - Para pejuang Hizbullah hari ini memberi tentangan sengit terhadap pencerobohan tentera Israel di kawasan sempadan selatan Lebanon, beberapa jam selepas rejim Yahudi meluluskan perluasan operasi darat dalam konflik yang kini mencecah tiga minggu. Menurut polis Lebanon, pertempuran sengit telah meletus sejak tiga hari berturut-turut di sekitar kawasan Taibe, Adaisseh dan Kfar Kila, 35 kilometer di timur bandar pelabuhan Tyre.
Tentera-tentera Israel yang menceroboh kawasan terbabit sejak kelmarin hanya mampu mara sejauh satu kilometer.
Sementara itu, di Baitulmaqdis, seorang jurucakap tentera menafikan dakwaan bahawa para pejuang Hizbullah berjaya memaksa tentera penceroboh berundur ke kawasan lain di sempadan, kira-kira 30 kilometer di barat daya.
Pada sebelah malam, satu kenyataan Hizbullah menyatakan, tentera Israel cuba "menguasai segitiga Aita al-Shaab, al-Qaozah, Ramieh tetapi telah mendapat tentangan sengit para pejuang sehingga memaksa tentera penceroboh berundur". Ketika menolak kenyataan itu, jurucakap tentera Israel terbabit berkata, operasi masih diteruskan seperti yang dirancang.
"Berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan, pasukan kami masih beroperasi di kawasan terbabit," katanya.
Aita al-Shaab terletak berhampiran dengan kawasan para pejuang Hizbullah membunuh lapan dan menawan dua askar Israel pada 12 Julai lalu.
Dalam kenyataan, Hizbullah memberitahu, tentera Israel cuba menawan sebuah bukit yang melatari ketiga-tiga perkampungan itu.
Menurut kenyataan itu, para pejuang Hizbullah memberikan tentangan sengit ke atas tentera Israel di barat laut perkampungan itu.
Polis Lebanon memberitahu, di sebalik janji menghentikan serangan udara selama 48 jam, tentera Israel terus melakukan pencerobohan dengan melancarkan serangan udara sepanjang malam tadi dan awal pagi.
Enam serangan udara dilancarkan ke Sungai Litani di sektor tengah, tiga serangan ke kawasan Barat Bekaa di timur dan enam lagi ke atas perkampungan di timur Tyre.
Pesawat tentera Israel turut melancarkan serangan ke atas bandar al- Hermil di kawasan timur bersempadan dengan Syria.
Jurucakap tentera mendakwa, serangan itu bertujuan "menghalang pemindahan senjata" Hizbullah
|