BANDAR GAZA 24 Ogos - Israel kembali mengalihkan tumpuannya terhadap Genting Gaza dengan meneruskan serangannya di wilayah Palestin setelah gagal menumpaskan pejuang Hizbullah dalam pertempuran selama lebih sebulan di Lebanon. Tentera rejim Yahudi menangkap seorang pemimpin Hamas dan membunuh saudara lelakinya dalam serangan ke wilayah Palestin itu awal hari ini.
Pertempuran dengan pejuang Palestin meletus apabila tentera Yahudi dengan bantuan kereta kebal dan helikopter penggempur memasuki kawasan Abasan di sempadan lalu mengambil alih kedudukan di atas bumbung.
Pegawai Hamas mengenal pasti lelaki yang ditahan sebagai pemimpin tempatan pertubuhan itu, Younis Abu Daka yang juga pensyarah di Universiti Islam di sini.
Saudara lelakinya, Yousef terbunuh dalam pertempuran itu manakala dua pejuang lain cedera.
Tentera Israel mengesahkan seorang pemimpin kanan Hamas ditangkap dan sekurang-kurangnya seorang pejuang pergerakan itu terbunuh.
Sementara itu seorang anggota Jihad Islam terbunuh akibat tembakan tentera Israel dekat Kissufim, di kawasan sempadan di antara Genting Gaza dan Israel.
Mustapha Mansur, 17, terbunuh setelah terkena serpihan peluru meriam kereta kebal manakala seorang rakannya cedera.
Keganasan itu berlaku sewaktu Israel meneruskan operasinya di Genting Gaza, yang bermula pada 28 Jun lalu, tiga hari selepas pejuang Palestin menyusup masuk ke Israel mengikut terowong, menyerang sebuah pos tentera dan menculik seorang askar, Koperal Gilad Shalit.
Israel menegaskan tenteranya akan meneruskan operasi serangannya sehingga Shalit dibebaskan dan pejuang Palestin menghentikan serangan roket ke Israel.
Tentera Israel kerap melancarkan serangan waktu malam ke Gaza sejak operasi itu bermula.
Mereka telah membunuh lebih 200 penduduk Palestin, majoritinya pejuang, sejak permulaan operasi dua bulan lalu.
|